About KROMOS | About | Platform BioTechnologies | Concept Products | Contact Us

News

Kromos Living Science lancar BluOxy

News >>

5 Ogos 2010

KROMOS Living Science Sdn Bhd (KLS), syarikat bioteknologi tempatan, yakin dapat menembusi pasaran antarabangsa menerusi pelancaran produk sanitasi yang pertama tanpa alkohol selain mendapat persijilan halal.

Pengurus Operasi dan Pembangunan Perniagaannya, Hedzri P Jaafar, berkata kelebihan produk BluOxy adalah menerusi kajian dan penyelidikan (R&D) yang dijalankan serta menggunakan 100 peratus bahan semula jadi tumbuhan selain selamat dihidu dan dimakan.


Katanya, sejak mula dipasarkan di negara ini pada Mac lalu permintaan untuk produk BluOxy sangat menggalakkan, malah pihaknya menjangka menjelang akhir tahun, produk terbabit akan berada di semua farmasi di seluruh negara.


“Ketika ini, terdapat dua produk BluOxy yang berada di pasaran iaitu Sanitasi RidBac dan Sanitasi NatShield serta pengedar utama adalah Amway dan Holista Biotech selain boleh diperoleh di beberapa farmasi utama di Malaysia.


“Kami juga akan memperkenalkan produk baru menerusi rangkaian penjagaan diri.


“Selain bakal menembusi pasaran luar negara seperti India, Sri Lanka, Amerika Utara, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Eropah, Afrika dan Australia tidak lama lagi, kami juga bercadang untuk menumpukan perhatian di pasaran Asia Tenggara,” katanya di majlis pengenalan produk BluOxy di Kuala Lumpur, semalam.


Hedzri berkata, potensi pasaran produk teknologi sanitasi sangat luas dengan anggaran lebih kurang AS$20 bilion dan pihaknya percaya menerusi penghasilan produk yang selamat dan berkesan, syarikat dapat mengambil peluang itu.


Bagi perancangan lima tahun akan datang, pihaknya akan menumpukan pembangunan produk penjagaan diri, barangan rumah, hospital, bangunan komersial, perladangan dan sistem perawatan udara.


Katanya, langkah itu bagi mempelbagaikan produk supaya lebih menyeluruh. “Produk BluOxy bukan saja dapat membunuh bakteria atau virus, tetapi mampu membunuh lebih 120 patogen (mikroorganisma berbahaya) yang menyebabkan penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1),” katanya.

Source - Harian Metro


Back